GAZA, 13 April- Tentera Israel didakwa melakukan serangan besar-besaran di tengah Gaza ketika ketegangan serantau memuncak selepas Iran mengancam tindakan balas terhadap serangan Israel di Syria yang mengorbankan dua jeneral Pengawal Revolusi Iran (IRG).
Ketika rundingan untuk gencatan senjata dan pembebasan tebusan berlarutan tanpa hala, kebimbangan bahawa Iran akan melancarkan serangan ke atas Israel, mendorong Amerika Syarikat (AS) untuk menghantar bantuan ke Asia Barat sebagai langkah berjaga-jaga.
Presiden AS, Joe Biden berkata beliau menjangkakan Iran akan cuba menyerang Israel tidak lama lagi, namun memberi amaran supaya tidak menyerang sekutunya sebagai tindakan balas terhadap serangan 1 April ke atas konsulat Iran di Damsyik, Syria.
Sementara itu pihak berkuasa di Gaza melaporkan puluhan serangan udara baharu, selepas kebanyakan tentera Israel berundur dan berkumpul semula sejak beberapa hari kebelakangan ini, difahamkan untuk melancarkan serangan baharu di tengah Gaza.
Pejabat media Hamas berkata, 25 orang dibawa ke hospital di Deir al-Balah akibat serangan udara yang memusnahkan sebuah rumah.
Penduduk, Mohammed al-Rayes, 61, memberitahu dia melarikan diri dari serangan udara dan tembakan artileri Israel di Nuseirat.
"Berlaku kebakaran dan kemusnahan, dengan begitu ramai syahid dan terbaring di jalanan," katanya.
Pengeboman terbaharu di Gaza terjadi selepas Israel memberitahu ia akan mengukuhkan pertahanan udara dan menghentikan cuti unit tempur, berikutan serangan udara pada 1 April lalu yang memusnahkan bangunan konsulat Iran di Damsyik.
Dalam pada itu, semalam, Kumpulan Hezbollah yang disokong Iran di Lubnan berkata ia melepaskan puluhan roket Katyusha ke arah kedudukan meriam Israel, satu siri pengeboman yang dikatakan sebagai tindak balas kepada serangan Israel di selatan.
Tentera Israel berkata kira-kira 40 pelancaran dikenal pasti, beberapa daripadanya berjaya dipintas dan tiada kecederaan dilaporkan. - AFP