fb fb fb fb fb

Seorang maut, tujuh cedera kemalangan kereta kabel di Turkiye

FOTO AFP

ISTANBUL, 13 April– Sekurang-kurangnya seorang terbunuh, tujuh cedera dan hampir 200 yang lain terkandas dalam kabin di udara apabila tiang yang menyokong kereta kabel tumbang di Antalya, Turkiye.

Datuk Bandar Antalya, Muhittin Böcek berkata, usaha sedang dijalankan untuk menyelamatkan 184 orang yang terperangkap dalam kereta kabel itu.

"Sistem tali sedang digunakan untuk operasi menyelamat dan helikopter dilengkapi sistem penglihatan malam sedang menuju ke kawasan itu.

"Pada masa ini terdapat 184 rakyat kita di dalam 25 kabin. Insya-Allah, kita akan selamat menyelamatkan mereka." tambah Datuk Bandar.

Pejabat gabenor dan penyiar tempatan berkata, mangsa yang cedera dipindahkan ke hospital berdekatan untuk rawatan dan manakala 24 kereta kabel lain masih tergantung.

Unit penyelamat kecemasan memindahkan 40 orang dari tujuh kereta kabel dan usaha diteruskan untuk memindahkan 134 orang lagi yang terkandas di kabin lain, kata pejabat gabenor.

Helikopter dan kenderaan lain dihantar ke tempat kejadian dalam usaha pemindahan dari laluan kereta kabel.

Menurut maklumat di laman sesawangnya, kereta kabel itu mempunyai 36 kabin dengan kapasiti enam orang setiap satu, dan ia mengambil masa purata sembilan minit untuk menaiki bukit ke kemudahan Tunektepe dengan pemandangan panoramik bandar Antalya.

Imej di media Turkiye menunjukkan kereta yang rosak tergantung pada kabel yang tercabut di sisi gunung berbatu manakala kakitangan perubatan merawat mangsa yang cedera. -REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI