WASHINGTON, 13 April- Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden berkata pada Jumaat bahawa beliau menjangkakan Iran akan menyerang Israel dan telah memberi amaran kepada Tehran supaya jangan meneruskan rancangan itu.
Apabila ditanya oleh para wartawan mengenai mesejnya kepada Iran, Presiden Biden setakat berkata, "Jangan", dan beliau menekankan komitmen Washington untuk melindungi Israel.
"Kami komited untuk menyokong Israel. Kami akan menyokong Israel. Kami akan membantu melindungi Israel dan Iran tidak akan berjaya," katanya.
Meski pun Presiden Biden enggan mendedahkan lebih banyak maklumat, beliau menjangkakan Iran akan melancarkan serangan tidak lama lagi.
Beliau berkata demikian kepada para wartawan di White House selepas menyampaikan ucapan secara maya di persidangan hak sivil.
Israel sedang bersiap sedia menghadapi serangan oleh Iran atau sekutu-sekutunya, sedang amaran semakin meningkat mengenai tindak balas terhadap serangan ke atas pekarangan Kedutaan Iran minggu lalu di Damsyik yang membunuh seorang komander kanan Pasukan Pengawal Revolusi Iran dan enam pegawai lain.
Negara-negara termasuk India, Perancis, Poland dan Rusia memberi amaran kepada rakyat masing-masing supaya jangan melakukan perjalanan ke rantau itu, yang sudah pun dalam keadaan terdesak akibat perang di Gaza, yang kini sudah masuk bulan ketujuh. Jerman pada Jumaat turut menggesa rakyatnya supaya meninggalkan Iran.
Israel tidak mengaku bertanggungjawab atas serangan udara pada 1 April.
Tetapi pemimpin ulung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, berkata Israel "mesti dihukum dan akan dihukum" kerana melancarkan operasi yang disifatkannya sebagai setara dengan serangan ke atas bumi Iran.
Awal sebelum itu, jurucakap White House, John Kirby berkata serangan Iran ke atas Israel adalah ancaman yang jelas dan nyata, tetapi tidak pula memberikan butiran bila Iran akan melancarkan serangan.
Menurut Kirby, Amerika Syarikat sedang memerhatikan ancaman Tehran dengan teliti.- REUTERS