JENIN, 11 Mei- Tentera Israel menembak mati seorang wartawan veteren Al-Jazeera ketika dia sedang membuat liputan di kem pelarian Jenin di Tebing Barat yang diduduki.
Al-Jazeera memaklumkan Shireen Abu Aqleh yang merupakan tokoh terkemuka di saluran berita Arab itu dibunuh dengan sengaja tanpa belas kasihan.
"Pembunuhan dilakukan secara terang-terangan dan melanggar undang-undang antarabangsa," menurut kenyataan Al-Jazeera.
Sehubungan itu agensi berita berkenaan menyeru komuniti antarabangsa supaya menggesa Israel bertanggungjawab atas pembunuhan tersebut.
(Seorang lelaki tidak dikenali cuba mengangkat mayat Abu Aqleh yang ditembak mati oleh tentera Israel / Foto AFP, AL-Jazeera)
Selain Abu Aqleh, seorang lagi wartawan yang juga penerbit, Ali Al-Samudi turut cedera dalam kejadian itu.
Samudi berkata, tiada pejuang Palestin berada di kawasan Abu Aqleh ditembak.
"Sekiranya terdapat pejuang penentang, tentu kami tidak akan masuk ke kawasan itu, tentera Israel memang menembak ke arah kami," katanya.
Sementara itu, seorang jurugambar AFP yang berada di tempat kejadian berkata, Abu Aqleh memakai jaket media ketika dia ditembak.
Ketegangan meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini apabila Israel bergelut dengan gelombang serangan yang mengorbankan sekurang-kurangnya 18 orang sejak 22 Mac, termasuk seorang pegawai polis Arab-Israel dan dua warga Ukraine.
Tentera Israel telah menyalahkan penduduk Jenin berhubung beberapa serangan dan telah meningkatkan operasi di kawasan itu dalam beberapa minggu kebelakangan ini.-AFP