BANGKOK, 11 Mei- Inisiatif Ramadan Damai di selatan Thailand secara amnya berjaya mengawal kejadian keganasan sehingga ini di Pattani, Narathiwat, Yala dan empat daerah di Songkhla.
Ketua Panel Dialog Keamanan Wilayah Sempadan Selatan Thailand Jeneral Wanlop Rugsanaoh berharap inisiatif itu akan menjadi titik permulaan berakhirnya keganasan dan mencapai keamanan berpanjangan di empat wilayah bergolak itu.
Di bawah inisiatif itu, kerajaan Thailand dan kumpulan bersenjata paling berpengaruh di selatan Thailand, Barisan Revolusi Nasional (BRN) sepakat menghentikan keganasan di empat wilayah selatan Thailand itu sepanjang Ramadan bermula 3 April hingga 14 Mei, meliputi tempoh 40 hari.
Wanlop memberitahu Bernama sejak inisiatif itu berkuatkuasa suasana di empat wilayah itu agak aman dengan hanya satu insiden letupan bom berlaku di Sai Buri, Pattani di mana seorang orang awam maut dan tiga anggota skuad pemusnah bom cedera.
Media sebelum ini melaporkan bahawa Patani United Liberation Organisation (Pulo) yang tidak terlibat dalam rundingan damai mengakui bertanggungjawab dalam letupan di Sai Buri pada 15 April itu.
Wanlop berkata inisiatif itu juga bertujuan memudahkan orang ramai melaksanakan ibadah mereka dengan selamat serta memupuk keyakinan masyarakat terhadap proses dialog damai yang inklusif.
(Foto fail)
Menurut BRN, Inisiatif Ramadan Damai akan mewujudkan suasana aman dan sejahtera bagi komuniti di selatan Thailand khususnya yang berada di lapangan.
Sementara itu, Wanlop berkata rundingan damai antara kerajaan Thai dan BRN dijangka diadakan antara Jun dan Ogos ini.
Bekas Ketua Polis Negara Malaysia Tan Sri Rahim Mohd Noor bertindak sebagai fasilitator dan turut melibatkan beberapa pakar sebagai pemerhati.
Keganasan di selatan Thailand mula tercetus pada 2004 di empat wilayah dan sehingga kini sudah meragut lebih 7,000 nyawa.