fb fb fb fb fb

Israel tembak mati tiga pejuang Palestin di Tebing Barat

Foto AFP

RAMALLAH, 11 Mac- Tentera Israel telah menembak mati tiga pejuang Palestin dalam satu operasi di Tebing Barat pada Selasa, manakala sumber Palestin melaporkan seorang wanita turut terbunuh.

Menurut kenyataan tentera Israel, pasukannya menyerbu kawasan Qabatiya dan Jenin.

"Tentera menembak mati dua individu dan mencederakan seorang lagi rakyat Palestin," menurut kenyataan tersebut.

Seorang lagi pejuang Palestin terbunuh selepas ditembak tentera Israel di Jenin, dengan 10 yang lain ditahan.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Palestin yang berpangkalan di Ramallah mengesahkan kematian seorang wanita Palestin, Fayza Ibrahim Abu Ghali, 58 tahun, akibat serangan Israel ke atas Jenin.

"Selain itu, seorang lagi rakyat Palestin, Ahmad Fathi Ahmad Salah, 32, dilaporkan terbunuh pada Isnin selepas dilanggar oleh kenderaan tentera Israel di Jenin," menurut kenyataan tersebut.

Tentera Israel telah melancarkan serangan berterusan selama beberapa minggu di utara Tebing Barat, bermula di kem pelarian yang dianggap sebagai kubu kuat pejuang Palestin.

Serangan itu kemudian merebak ke lebih banyak kawasan, menyebabkan puluhan ribu orang kehilangan tempat tinggal dan menyaksikan penggunaan kereta kebal Israel di wilayah tersebut buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun.

Sejak konflik Israel-Hamas tercetus di Gaza pada 7 Oktober 2023, keganasan di Tebing Barat semakin meningkat.

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, sekurang-kurangnya 910 rakyat Palestin telah terbunuh di Tebing Barat sejak konflik itu bermula.- AFP

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM