fb fb fb fb fb

Israel tembak mati dua rakyat Palestin

RAMALLAH, 3 Oktober- Dua rakyat Palestin ditembak mati oleh tentera Israel dalam satu serbuan berdekatan Ramallah yang diduduki tentera itu.

Kementerian Kesihatan Palestin menerusi kenyataan memaklumkan, dua mangsa tersebut maut selepas tentera Israel melepaskan tembakan ke arah mereka yang berada berdekatan kem pelarian Jalazun.

Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai identiti kedua-dua mangsa yang terbunuh itu masih belum diperolehi.

Sementara itu, tentera Israel mendakwa mereka melepaskan tembakan selepas kedua-dua mangsa dikatakan cuba merempuh anggota Pasukan Pertahanan Israel (IDF).

(Asap berkepul-kepul daripada tayar yang dibakar sebagai protes selepas tentera Israel
membunuh dua rakyat Palestin di kem Jalazun / Foto AFP)

Tentera zionis juga menahan 16 individu lain dalam serbuan yang dilakukan tengah malam tadi di seluruh Tebing Barat.

Pada Rabu lalu, empat rakyat Palestin terbunuh di bandar utara Jenin, dengan Israel mengatakan pihaknya menyasarkan dua suspek terbabit dalam beberapa serangan tembakan yang berlaku baru-baru ini.

Sejak Mac lalu, Israel melancarkan ratusan serbuan di Tebing Barat yang dikatakan bertujuan memburu militan, dengan kebanyakan serangan berkenaan tertumpu di Jenin dan bandar berdekatan, Nablus.

Serbuan mencetuskan pertempuran yang mengorbankan berpuluh-puluh warga Palestin. -AFP

Media Baharu