SEHWAN, 3 Oktober- Wad kecemasan di hospital utama kerajaan di sini penuh dan tidak mampu menampung jumlah pesakit.
Ratusan pesakit terpaksa bersesak-sesak di bilik dan koridor hospital untuk mendapatkan rawatan penyakit malaria dan penyakit-penyakit lain yang merebak pantas selepas negara tersebut dilanda banjir terburuk pada Ogos dan September lalu.
Seorang doktor muda, Naveed Ahmad yang bertugas di jabatan kecemasan Institut Sains Kesihatan Abdullah Shah, dikelilingi lima atau enam pesakit yang cuba mendapatkan perhatiannya.
Bagaimanapun, doktor berusia 30 tahun itu kekal tenang ketika perkhidmatan kecemasan bergelut menghadapi ribuan pesakit yang tiba beribu batu selepas kediaman mereka ditenggelami banjir.
"Kami terlalu banyak kerja sehingga ada kala saya berasa seperti hendak pitam, namun, doa daripada pesakit-pesakit ini yang membuat kami terus bertahan.
Anggaran 300-400 pesakit yang tiba di klinik setiap pagi, kebanyakannya adalah kanak-kanak menghidap malaria dan cirit-birit," katanya.
(Dr. Naveed Ahmad sedang memeriksa seorang wanita sambil dikerumui beberapa pesakit lain / Foto REUTERS)
Banjir terburuk di Pakistan menjejaskan kira-kira 33 juta rakyat negara itu yang mempunyai populasi 220 juta penduduk.
Beratus-ratus ribu rakyat Pakistan yang melarikan diri dari rumah masing-masing kini tinggal di kem kerajaan atau di tempat terbuka.
Air banjir yang bertakung sehingga ratusan kilometer persegi, mungkin mengambil masa dua hingga enam bulan untuk surut.
Keadaan itu menyebabkan kes jangkitan kulit dan mata yang meluas, cirit-birit, malaria, kepialu dan demam denggi.