fb fb fb fb fb

Gencatan senjata di Yaman tamat

DUBAI, 3 Oktober- Gencatan senjata selama enam bulan dalam perang Yaman, telah berakhir dan tidak akan dilanjutkan.

Utusan khas Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Hans Grundberg, menggesa semua pihak supaya bertenang dan memaklumkan rundingan akan diteruskan.

Beliau berkata, usaha untuk melanjutkan gencatan senjata selama enam bulan lagi masih belum berjaya.

"Utusan khas PBB kesal kerana persetujuan belum dicapai hingga hari ini, kerana gencatan senjata yang dilanjut dan diperluaskan akan memberi faedah lebih baik kepada penduduk.

Saya menggesa pihak bertelagah untuk menunaikan kewajiban kepada rakyat Yaman supaya mencari jalan demi keamanan," menurut satu kenyataan.

(Hans Grundberg, Utusan khas PBB / Foto AFP)

Gencatan senjata yang digubal selama dua bulan pada April lalu dan diperbaharui dua kali, menyaksikan penurunan mendadak pertempuran antara pemberontak Huthi yang disokong Iran dan pakatan prokerajaan yang diketuai Arab Saudi.

Menurut PBB, perang yang bergolak sejak 2014 itu mengorbankan ratusan ribu mangsa sama ada secara langsung atau tidak langsung dan mewujudkan krisis kemanusiaan terburuk di dunia. -AFP

Media Baharu