fb fb fb fb fb

Israel tangguh pendengaran petisyen PFA

210 wartawan di Palestin terbunuh sepanjang dua tahun konflik Hamas-Israel /AFP

BAITULMAQDIS, 23 Oktober- Mahkamah Agung Israel menangguhkan pendengaran petisyen yang difailkan sebuah pertubuhan yang mewakili media antarabangsa yang menuntut akses bebas untuk wartawan ke Gaza.

Menurut Persatuan Akhbar Asing (Foreign Press Association – FPA), mahkamah Israel sepatutnya memulakan pendengaran terhadap petisyen itu hari ini. Namun hal itu tidak berlaku.

Peguam Zionis dalam satu kenyataan menuntut tempoh tambahan 30 hari untuk meneliti keadaan semasa.

Pengerusi FPA, Tania Kraemer berkata, pihaknya kecewa dengan keputusan itu memandang mereka sudah menunggu lama untuk pendengaran terbabit.

Setakat ini tiada tarikh baharu ditetapkan pihak Zionis bagi pendengaran seterusnya.

FPA, yang mewakili ratusan wartawan antarabangsa, mula memfailkan petisyen bagi mendapatkan akses bebas ke Gaza selepas perang tercetus pada Oktober 2023, berikutan serangan Hamas terhadap Israel.

Namun, tuntutan-tuntutan tersebut berulang kali diabaikan pihak berkuasa Israel.

Mereka terus menghalang wartawan asing daripada memasuki wilayah yang musnah itu, dan hanya membenarkan segelintir wartawan mengikuti lawatan yang dikawal ketat tenteranya.

Dalam satu kenyataan berasingan, Badan pemantau media, Reporters Without Borders (RSF), yang turut menyertai petisyen yang dikemukakan oleh FPA itu menyatakan bahawa tentera Israel telah membunuh lebih 210 wartawan Palestin di Gaza.

“Hasilnya merupakan satu pelanggaran kebebasan media yang tidak pernah berlaku sebelum ini, serta pencabulan terhadap hak orang ramai untuk mendapatkan laporan yang boleh dipercayai, bebas dan bersifat pelbagai,” kata Antoine Bernard, Pengarah Advokasi dan Bantuan RSF, dalam satu kenyataan.

“Tiada alasan dan tiada sekatan yang dapat dijadikan justifikasi untuk tidak membuka Gaza kepada media antarabangsa, Israel, dan Palestin,” tegasnya. -AFP

SITI NOORAIN ABDULLAH