BEIJING, 23 Oktober- China mengumumkan akan mengadakan satu lagi pusingan rundingan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) di Malaysia sebagai usaha meredakan ketegangan perang tarif antara kedua-dua negara.
Kementerian Perdagangan Beijing dalam kenyataan memaklumkan, rundingan itu akan diketuai Timbalan Perdana Menteri He Lifeng.
Awal bulan lalu, Beijing mengumumkan kawalan menyeluruh terhadap industri nadir bumi yang strategik, yang mendorong Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengancam untuk mengenakan tarif sebanyak 100 peratus terhadap semua import dari China sebagai tindakan balas.
Kedua-dua negara turut mula mengenakan caj kemasukan terhadap kapal masing-masing, berpunca daripada siasatan “Seksyen 301” oleh Amerika Syarikat yang mendapati penguasaan Beijing dalam industri tersebut sebagai tidak munasabah.
Trump kemudiannya mengancam untuk membatalkan pertemuan yang dijangka berlangsung dengan rakan sejawatnya dari China, Xi Jinping, di Korea Selatan semasa sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) yang dijadual bermula pada 31 Oktober.
Namun, Presiden Amerika itu turut menyatakan hasratnya untuk memeterai satu perjanjian yang “baik” dengan China dan menamatkan perang perdagangan tersebut.
Kenyataan itu juga menyebut, rundingan tersebut akan membincangkan “isu-isu penting dalam hubungan ekonomi dan perdagangan antara China dengan Amerika Syarikat.”
Rundingan perdagangan itu turut dijadualkan berlangsung serentak dengan lawatan Presiden Trump ke Kuala Lumpur, bagi menghadiri mesyuarat Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dari 26 hingga 28 Oktober. -AFP