BEIRUT, 23 Oktober- Israel sekali lagi melancarkan serangan udara terbaharu ke kawasan pergunungan di Timur Lubnan yang kononnya menyasarkan lokasi persembunyiaan kumpulan Hezbollah.
Menurut laporan Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA), pesawat-pesawat tempur Israel melancarkan beberapa serangan ke atas kawasan banjaran timur di wilayah Bekaa berhampiran sempadan Syria.
Agensi itu turut melaporkan bahawa dua serangan itu turut menyasarkan Banjaran Hermel di timur laut negara itu.
Sementara itu, Zionis dalam satu kenyataan memberitahu kononnya serangan itu menyasarkan kem tentera dan tapak pengeluaran peluru berpandu berketepatan tinggi di wilayah Bekaa.
Kenyataan itu juga menyebut telah menyerang sebuah kem yang digunakan Hezbollah melatih askarnya.
Serangan juga turut menyasarkan infrastruktur ketenteraan di kawasan Sharbin di utara Lubnan.
Israel telah berulang kali mengebom Lubnan meskipun terdapat gencatan senjata pada bulan November lalu.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian tersebut, tentera Israel sepatutnya berundur dari selatan Lubnan, manakala Hezbollah pula dijangka melucutkan senjata di wilayah berkenaan.
Namun, bawah tekanan Amerika Syarikat dan berikutan kebimbangan terhadap kemungkinan peningkatan serangan Israel, kerajaan Lubnan kini sedang mengambil langkah untuk melucutkan senjata Hezbollah — satu pelan yang ditentang keras oleh kumpulan pejuang itu serta sekutunya. -AFP