WASHINGTON, 5 April- Israel bersetuju membuka laluan tambahan bagi penghantaran bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan ke Gaza, umum White House pada Khamis.
Agensi Anadolu melaporkan pengumuman itu hanya beberapa jam selepas Presiden Joe Biden memberi amaran kepada Perdana Menteri Israe,l Benjamin Netanyahu bahawa pembaharuan besar perlu dilakukan.
Israel masih belum mengesahkan secara rasmi bahawa ia telah bersetuju untuk melaksanakannya, tetapi White House berkata ia akan menggunakan pelabuhan di bandar Ashdod Israel untuk penghantaran bantuan langsung ke Gaza, membuka lintasan Erez di sepanjang sempadan utara Gaza dan "meningkatkan penghantaran dari Jordan terus ke Gaza."
Tindakan itu "kini mesti dilaksanakan sepenuhnya dan pantas," kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara, Adrienne Watson.
"Seperti yang dikatakan oleh presiden hari ini mengenai gesaan itu, dasar AS berkenaan dengan Gaza akan ditentukan oleh penilaian kami terhadap tindakan segera Israel terhadap langkah-langkah ini dan tindakan lain, termasuk usaha untuk melindungi orang awam yang tidak bersalah dan keselamatan pekerja bantuan," katanya dalam kenyataan.
"Kami bersedia untuk bekerja dengan penyelarasan penuh kerajaan Israel, Jordan, Mesir, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan kemanusiaan, untuk memastikan langkah penting ini dilaksanakan dan menghasilkan peningkatan ketara dalam bantuan kemanusiaan yang sampai kepada orang awam yang sangat memerlukan di seluruh Gaza dalam beberapa hari dan minggu akan datang," katanya.
Sebelum pengumuman White House , hanya pintu sempadan Karem Shalom dan Rafah dibuka untuk penghantaran bantuan. Kedua-duanya berada di selatan Gaza dan aliran bantuan antarabangsa masih tidak mencukupi untuk menghadapi bencana kemanusiaan di kawasan pantai akibat sekatan Israel.
Biden bercakap melalui telefon dengan Netanyahu pada Khamis, memberi amaran kepadanya sokongan AS pada masa depan untuk perang Israel ke atas Gaza bergantung kepada pelaksanaan pembaharuan besar Tel Aviv berikutan pembunuhan tujuh pekerja bantuan kemanusiaan di Gaza yang "tidak boleh diterima".
Komen itu dibuat selepas Israel melakukan serangan pada Isnin ke atas konvoi kemanusiaan di tengah Gaza yang membunuh tujuh pekerja bantuan dengan badan amal makanan World Central Kitchen (WCK) dalam apa yang disebut oleh pengasasnya Chef Jose Andres sebagai "serangan langsung ke atas kenderaan berlogo, yang pergerakannya diketahui" oleh tentera Israel.
White House berkata Biden "menjelaskan keperluan untuk Israel mengumumkan dan melaksanakan beberapa langkah khusus, konkrit dan boleh diukur untuk menangani bahaya awam, penderitaan kemanusiaan dan keselamatan pekerja bantuan."
"Beliau menjelaskan bahawa dasar AS berkenaan Gaza akan ditentukan oleh penilaian kami terhadap tindakan segera Israel terhadap langkah-langkah ini," katanya.
White House kemudian enggan menyatakan langkah-langkah yang diambil oleh presiden. Tetapi ia berkata AS menjangka untuk melihat Israel mengambil beberapa langkah "dalam beberapa jam dan hari akan datang," termasuk membenarkan "peningkatan dramatik dalam bantuan kemanusiaan" ke Gaza dan membuka pintu sempadan tambahan untuk penghantaran bantuan.
Masih belum dapat dipastikan sama ada perjanjian tersebut akan mengakibatkan peningkatan jumlah bantuan yang masuk ke Gaza.
Israel telah melancarkan serangan maut di Semenanjung Gaza sejak awal Oktober mengakibatkan lebih 33,000 rakyat Palestin terbunuh dan 75,577 cedera di tengah-tengah kemusnahan besar-besaran dan kekurangan barangan keperluan.
Israel juga telah mengenakan sekatan yang melumpuhkan Semenanjung Gaza, menyebabkan penduduknya, terutama penduduk di utara Gaza, di ambang kebuluran.
Perang Israel telah mendorong 85 peratus penduduk Gaza mengalami perpindahan dalaman di tengah-tengah kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan manakala 60 peratus infrastruktur di kawasan itu telah rosak atau musnah, menurut PBB.
Israel dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), yang minggu lalu memintanya melakukan lebih banyak lagi usaha untuk mencegah kebuluran di Gaza. -BERNAMA-ANADOLU