FOTO FILE
DAMSYIK, 17 Februari- Israel melancarkan serangan terbaharu ke selatan Damsyik pada petang Rabu, menyebabkan kerosakan bangunan sekitar.
Menurut kenyataan kerajaan Syria, ia merupakan serangan udara kedua Israel ke atas Syria bulan ini, selepas negara Yahudi itu menyasarkan senjata antipesawat pada 9 Februari sebagai tindak balas kepada peluru berpandu yang ditembak dari Syria.
"Israel melakukan serangan dengan beberapa peluru berpandu dari Dataran Tinggi Golan menyasarkan bandar Zakiya pada kira-kira 11:35 malam," kata Agensi Berita Syria SANA, memetik sumber tentera .
Seorang pemantau perang berkata sasaran serangan hari Rabu adalah pos tentera Syria.
“Tembakan menyasarkan pos tentera rejim,” kata Rami Abdel Rahman, yang mengetuai Syrian Observatory for Human Rights, memberitahu AFP.
Pemantau yang berpangkalan di United Kingdom itu bergantung pada rangkaian sumber yang luas di dalam Syria.
Sejak perang saudara meletus di Syria pada 2011, Israel telah melakukan ratusan serangan udara, menyasarkan kedudukan kerajaan serta tentera yang disokong Iran dan pejuang gerakan militan Syiah Hizbullah.
Israel telah berulang kali berkata ia berusaha untuk menghalang musuh ketatnya Iran daripada meluaskan jejak di Syria.- AFP