FOTO AFP
Tegucigalpa, 17 Februari- Bekas presiden Honduras, Juan Orlando Hernandez, yang dipalit dengan tuduhan mengedar dadah di Amerika Syarikat, akan kekal dalam penjara sekurang-kurangnya sebulan sementara kes ekstradisi terhadapnya diteruskan.
Perkara itu diputuskan hakim di Tegucigalpa pada Rabu.
Hakim memutuskan untuk menahan Hernandez dalam tahanan pencegahan "untuk menjamin kehadirannya" pada perbicaraan kedua dalam kes itu bulan depan, kata jurucakap Mahkamah Agung Melvin Duarte.
Hernandez, yang masih memegang jawatan presiden tiga minggu lalu, dihadapkan ke mahkamah untuk perbicaraan pertamanya dalam kes itu dalam konvoi yang termasuk kenderaan perisai dan helikopter dari balai polis tempat dia ditahan.
Di luar bangunan mahkamah, penyokong dari parti sayap kanan, Parti Kebangsaan (NP) berteriak, "Dia tidak bersendirian!" manakala penyokong parti Libre berhaluan kiri yang baru menggulingkan NP daripada kuasa meraikan kejatuhan Hernandez.
Hernandez, 53 tahun didakwa telah terlibat dengan penyeludupan kira-kira 500 tan dadah terutamanya dari Colombia dan Venezuela ke Amerika Syarikat melalui Honduras dari 2004 hingga tahun ini.
"Dia didakwa menerima berjuta-juta dolar dalam bentuk rasuah, daripada pelbagai organisasi perdagangan narkotik di Honduras, Mexico dan tempat lain," menurut dokumen dari Kedutaan Amerika Syarikat di Tegucigalpa.
Hakim membacakan pertuduhan Hernandez di mahkamah pada Rabu sebelum memutuskan bekas presiden itu akan kekal dalam tahanan sehingga perbicaraan kes seterusnya pada 16 Mac.
Permohonan ekstradisi sebelum ini mengambil masa tidak lebih empat bulan untuk dihakimi, tambahnya.
Hernandez menyerah diri kepada polis Selasa, beberapa jam selepas hakim mengeluarkan waran untuk menangkapnya.
Hernandez berkuasa selama lapan tahun sehingga 27 Januari lalu, apabila Xiomara Castro berhaluan kiri mengangkat sumpah sebagai presiden wanita pertama Honduras.
Hernandez telah dibawa dari rumahnya di ibu negara Tegucigalpa oleh polis Honduras yang bertindak dalam penyelarasan dengan agensi Amerika, termasuk Jabatan Penguatkuasaan Dadah (DEA).
Ahli politik sayap kanan itu yang berkhidmat dua penggal berturut-turut diselubungi dakwaan rasuah bagaimanapun tidak melawan malah membenarkan pegawai menggari tangan dan kakinya serta memakai vest kalis peluru.
Berpuluh-puluh orang dengan sepanduk meraikan penahanan itu di luar rumah Hernandez, manakala di bandar lain, orang ramai turun ke jalanan dengan pembesar suara menyanyikan, "Juancho pergi ke New York,".
Dokumen Kedutaan AS berkata Hernandez dituduh melindungi pengedar dadah daripada penyiasatan, penangkapan dan ekstradisi, serta memberikan mereka maklumat sulit tentang siasatan yang sedang dijalankan.
Dia didakwa mempengaruhi anggota polis dan tentera agar melindungi penghantaran dadah di Honduras dan "membenarkan tindakan keganasan kejam dilakukan."
Hernandez juga dituduh menerima satu juta dolar yang diperoleh daripada aktiviti raja dadah Mexico Joaquin "El Chapo" Guzman sebagai pertukaran untuk melindungi aktiviti kartel Sinaloanya di Honduras.-AFP