fb fb fb fb fb

Israel serang pelabuhan & infrastruktur tenaga di Yaman

Foto AFP

BAITULMAQDIS, 19 Disember- Israel melancarkan serangan terbaharu ke atas pelabuhan dan infrastruktur tenaga di Yaman.

Media Huthi melaporkan serangan itu mengenai stesen janakuasa, kemudahan tenaga dan sebuah pelabuhan di Hodaidah serta mengorbankan sembilan orang dan mencederakan yang lain.

Iran yang menyokong kumpulan itu, mengecam serangan tersebut sebagai pelanggaran secara terang-terangan prinsip dan norma undang-undang antarabangsa serta Piagam Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Tentera Israel berkata serangan itu menyasarkan kawasan ketenteraan Huthi di Yaman, termasuk pelabuhan dan infrastruktur tenaga di Sanaa yang digunakan oleh Huthi untuk menyokong tindakan ketenteraan mereka.

Media Al-Masira yang dikendalikan oleh Huthi melaporkan siri serangan agresif di ibu negara Yaman, Sanaa dan bandar pelabuhan Hodeidah.

Ia menyatakan bahawa dua loji janakuasa pusat dan pelabuhan diserang, bersama-sama dengan kemudahan minyak. Serangan di Pelabuhan Al-Saleef mengorbankan tujuh orang, manakala dua lagi terbunuh dalam serangan ke atas kemudahan minyak.

Serangan Israel itu berlaku selepas tentera udara negara itu memintas peluru berpandu dari Yaman buat kali kedua minggu ini.

Awal minggu ini, Huthi mengaku melancarkan peluru berpandu ke arah sasaran ketenteraan musuh Israel di kawasan yang diduduki Yaffa, dengan merujuk kepada kawasan Tel Aviv di Israel.

Kumpulan Huthi menyatakan tindakan mereka sebagai solidariti terhadap rakyat Palestin dan berikrar akan meneruskan operasi sehingga pencerobohan di Gaza dihentikan.

Pada 9 Disember, sebuah dron yang didakwa milik Huthi meletup di tingkat atas sebuah bangunan kediaman di bandar Yavne, Israel, tanpa menyebabkan sebarang kecederaan.

Pada bulan Julai, serangan dron Huthi di Tel Aviv mengorbankan seorang rakyat Israel, mencetuskan serangan balas terhadap pelabuhan Hodeidah di Yaman.-AFP

ROSLINA BINTI DIN