fb fb fb fb fb

52 orang maut, dua kemalangan bas di Afghanistan

Foto hiasan

KABUL, 19 Disember- Seramai 52 orang maut dan 65 orang yang lain cedera dalam dua kemalangan berasingan melibatkan bas di lebuh raya tengah Afghanistan.

Ketua Maklumat dan Kebudayaan Wilayah, Hamidullah Nisar menerusi platform X berkata, insiden itu berlaku di wilayah Ghazni di lebuh raya yang menghubungkan antara ibu negara Kabul dan bandar Kandahar di selatan pada lewat Rabu.

"Sebuah bas bertembung dengan lori tangki minyak berhampiran kampung Shahbaz di Ghazni tengah, sementara sebuah lagi bas melanggar trak di daerah timur Andar, kata Nisar.

Beliau berkata pasukan penyelamat segera dikerahkan ke lokasi kejadian dan membawa mangsa yang cedera ke hospital, dengan beberapa orang dalam keadaan serius.

"Kami menerima dengan penuh kesedihan bahawa dua kemalangan jalan raya maut berlaku di Lebuh Raya Kabul-Kandahar, dengan 52 rakyat kita terbunuh dan 65 lagi cedera," kata jurucakap utama kerajaan Zabihullah Mujahid.

Kemalangan jalan raya adalah perkara biasa di Afghanistan, sebahagiannya disebabkan oleh keadaan jalan yang teruk akibat konflik selama beberapa dekad, pemanduan berbahaya di lebuh raya dan kekurangan peraturan lalu lintas.

Pada Mac lalu, lebih daripada 20 orang terbunuh dan 38 cedera apabila sebuah bas bertembung dengan lori tangki minyak dan terbakar di wilayah Helmand selatan.

Satu lagi kemalangan serius yang melibatkan lori tangki minyak berlaku pada Disember 2022, apabila kenderaan itu terbalik dan terbakar di Laluan Salang yang tinggi di Afghanistan, menyebabkan 31 orang terkorban dan puluhan lagi melecur.-AFP

ROSLINA BINTI DIN