fb fb fb fb fb

Kanak-kanak patah rusuk terjatuh permainan 'Giant Octopus'

Mangsa (berbaju merah) terbaring di lantai selepas jatuh dari "Giant Octopus" yang kelihatan pada gambar berkenaan (bercahaya hijau biru)/Reuters

NAKHON RATCHASIMA, 19 Disember- Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun mengalami patah rusuk dan tulang belakang selepas terjatuh dari permainan dikenali sebagai "Giant Octopus" ketika Festival Musim Sejuk di sini Thailand pada Sabtu lepas.

Operator permainan itu didakwa memulakan permainan tanpa mengunci palang keselamatan dengan betul, menyebabkan mangsa terlepas pegangan dan terjatuh sejauh tiga meter ke tanah selepas berjaya memegang palang keselamatan selama tiga pusingan.

Pasukan perubatan segera membawa mangsa ke Hospital Pak Chong Nana dan didiagnosis dengan patah rusuk, udara terkumpul dalam paru-paru dan dua tulang belakang patah.

Bagaimanapun, hospital melaporkan dia masih sedar dan boleh berkomunikasi dengan normal.

Menurut kakaknya, dia telah memberi isyarat kepada operator terbabit dengan mengangkat tangan untuk memberitahu bahawa permainan tersebut belum dikunci dengan betul. Namun, ia tetap dimulakan tanpa menghentikan operasi.

Pemilik permainan, Naruebet bersama penganjur festival La-ongkaew pula dilapor telah melawat mangsa di hospital dan berjanji untuk menanggung kos rawatannya.

Naruebet juga menyatakan bahawa mereka akan bekerjasama dengan Jabatan Kejuruteraan Pentadbiran Daerah Nong Sarai untuk memeriksa kestabilan permainan tersebut dan menangguhkan operasi sekiranya terdapat masalah.

Permainan "Giant Octopus" berkenaan dikatakan memiliki permit sah dan telah diselenggara pada 8 April lalu.

Insiden itu berlaku selepas seorang kanak-kanak berusia 3 tahun, Kanchaya Phoyen, yang terselamat selepas jatuh tujuh meter dari gondola Roda Ferris di Bangkok pada bulan April. -Reuters

SITI AISHAH MD ISA