fb fb fb fb fb

Israel serang Lubnan, tindak balas serangan roket Hizbullah

Foto AFP

BEIRUT, 15 Februari- 11 orang termasuk enam kanak-kanak terkorban dalam satu serangan dilancar Israel ke atas sebuah kampung di selatan Lubnan pada Rabu.

Menurut sumber keselamatan, tujuh lagi orang awam turut tercedera.

Israel menjelaskan bahawa itu adalah serangan balas terhadap roket pejuang Hizbullah yang membunuh seorang askarnya.

Hizbullah dan tentera Israel telah berbalas tembakan di sempadan selama lebih empat bulan, merentasi sempadan yang dipertikai untuk menyokong sekutu Palestinnya, Hamas.

Angka kematian itu adalah yang tertinggi dalam tempoh sehari, sejak serangan rentas sempadan bermula Oktober tahun lepas.

Susulan keganasan yang memuncak di Lubnan,
Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menggesa agar pertempuran antara tentera Israel dengan pergerakan Hizbullah, dihentikan.

Jurucakap Setiausaha Agung badan dunia itu, Stephane Dujarric menyifatkan situasi ketika ini, sebagai berbahaya.

Misi pengaman PBB di Lubnan menyedari berlaku perubahan membimbangkan dalam konflik antara pihak-pihak bertelagah termasuk di kawasan yang jauh dari 'garis biru' di sempadan yang ditetapkan pada tahun 2000.

Sementara itu, Ketua Hizbullah, Sayyed Hassan Nasrallah berkata dalam satu ucapan di televisyen pada Selasa bahawa kumpulannya hanya akan menghentikan pertempuran jika gencatan senjata penuh dicapai untuk Gaza.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM