SILAT AL-HARITHIYAH, 7 Mei- Tentera Israel memusnahkan kediaman penduduk Palestin yang didakwa membunuh peneroka haram Israel, sekaligus mencetuskan pertelingkahan baharu.
Letupan menghancurkan pangsapuri Omar Jaradat di perkampungan Silat al-Harithiya berhampiran bandar Jenin, di utara Tebing Barat.
Pertempuran dengan tentera Israel menyaksikan penduduk Palestin membaling batu dan bom api yang dibalas dengan tembakan senjata semi automatik.
Dua rakyat Palestin dilaporkan cedera dalam pertempuran tersebut.
Pertempuran itu menambahkan lagi ketegangan di Israel dan Tebing Barat ketika pemburuan secara besar-besaran diteruskan untuk mencari dua rakyat Palestin yang didakwa membunuh tiga warga Israel dalam serangan menggunakan kapak berhampiran Bailtulmaqdis.
Israel menuduh Omar Jaradat dan dua ahli keluarganya membunuh seorang pelajar, Yehuda Dimentman, 25, pada 16 Disember tahun lepas.
(Seorang lelaki Palestin duduk di dalam runtuhan kediaman yang dimusnahkan tentera Israel / Foto AFP)
Pihak keselamatan Israel sebelum ini merobohkan tiga lagi rumah ahli keluarga Jaradat di Silat al-Harithiya.
Operasi pada Februari dan Mac itu turut mencetuskan perbalahan apabila tentera Israel menembak mati remaja Palestin.
Israel sering merobohkan rumah rakyat Palestin yang didakwa melakukan serangan terhadap Israel.
Kira-kira 475,000 peneroka haram Yahudi tinggal di Tebing Barat bersama lebih 2.9 juta rakyat Palestin yang menyalahi undang-undang antarabangsa.- AFP