KABUL, 8 Mei- Wanita di Afghanistan diarah menutup penuh bahagian tubuh mereka ketika berada di khalayak ramai.
Peraturan tersebut diluluskan pemimpin tertinggi Afghanistan dan ketua Taliban Hibatullah Akhundzada, pada Sabtu.
"Golongan itu yang tidak terlalu tua atau muda mesti menutup muka kecuali mata untuk memenuhi tuntutan syariah bagi mengelakkan provokasi apabila bertemu lelaki bukan mahram.
Kaedah terbaik adalah dengan memakai chadori (burqa dari kepala hingga ke kaki) kerana itu tradisi dan tanda hormat," kata satu arahan atas namanya yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Taliban, pada satu majlis di Kabul.
(Seorang wanita memakai burqa, pakaian tradisi yang menutup penuh bahagian tubuh
dari kepala hingga kaki / Foto AFP)
Arahan tersebut merupakan sekatan paling tegas dilaksana ke atas wanita Afghanistan sejak Taliban merampas kuasa pada Ogos tahun lalu.
Sebelum ini Taliban berjanji akan melonggarkan sekatan berbanding pemerintahan sebelum ini antara tahun 1996 hingga 2001 apabila ia disifatkan mencabul hak asasi manusia.
Namun sekatan tetap dilakukan ke atas wanita dengan larangan untuk menyertai sektor awam, pendidikan menengah, dan bergerak sendirian di luar bandar.
Sejak mereka kembali berkuasa, Kementerian Penggalakan Kebajikan dan Pencegahan Maksiat mengeluarkan garis panduan mengenai pakaian yang harus dipakai wanita tetapi perintah yang dikeluarkan pada Sabtu merupakan yang pertama.
Kumpulan itu mencetuskan kemarahan antarabangsa pada Mac apabila mereka mengarahkan sekolah menengah untuk pelajar perempuan ditutup, hanya beberapa jam selepas dibuka semula buat kali pertama, sejak mereka merampas kuasa.- AFP