fb fb fb fb fb

Indonesia rampas kapal disyaki eksport minyak kelapa sawit

JAKARTA, 5 Mei- Pihak berkuasa Indonesia merampas sebuah kapal tangki yang membawa minyak kelapa sawit keluar dari negara itu dan melanggar larangan eksport komoditi tersebut sejak ia dikuatkuasakan minggu lalu.

Panglima Tentera Laut Indonesia, Laksamana Agung Prasetiawan memaklumkan, kapal berkenaan membawa 34 kontena mengandungi olein sawit yang ditapis, diluntur dan dinyahbau (RBD) yang merupakan jenis bahan larangan eksport buat masa ini.

"Sebuah kapal perang Indonesia memintas MV Mathu Bhum berbendera Singapura pada Rabu ketika ia menuju ke Malaysia," katanya menerusi satu kenyataan.

(Laksamana Agung Prasetiawan memeriksa kontena membawa minyak kelapa sawit
di pelabuhan Belawan, Medan,yang ditahan ketika menuju Malaysia / Foto AFP)

Negara pengeluar minyak kelapa sawit terbesar dunia berkenaan, melarang eksport bahan tersebut bagi mengekang kekurangan dan kenaikan harga domestik.

Indonesia mengeluarkan kira-kira 60 peratus daripada minyak kelapa sawit dunia, yang digunakan dalam pelbagai produk, seperti kosmetik dan sapuan coklat.

Satu pertiga daripada pengeluarannya digunakan secara domestik.

Sementara itu, Pertubuhan Makanan dan Pertanian, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan, pencerobohan Rusia ke atas Ukraine telah mengakibatkan harga minyak sayuran mencecah paras tertinggi sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Pengeluar di Indonesia keberatan menjual minyak kelapa sawit di pasaran tempatan susulan eksport komoditi tersebut dilihat memberi lebih keuntungan berikutan harga antarabangsa yang tinggi.

Sehubungan itu, pihak berkuasa tempatan mengawal harga minyak kelapa sawit kerana bimbang dengan kemarahan orang awam memandangkan pengguna di beberapa bandar terpaksa beratur berjam-jam di pusat pengagihan untuk membeli minyak masak pada harga subsidi.

Larangan eksport oleh Indonesia menyebabkan harga kelapa sawit, kacang soya, biji sesawi Eropah dan minyak kanola, berada pada paras tertinggi dalam sejarah.

Negara itu bercadang membenarkan semula eksport apabila harga pukal tempatan bagi minyak masak jatuh kepada 14,000 rupiah (RM4.22), selepas meningkat kepada 26,000 rupiah (RM7.84).

Semalam, harga minyak kepala sawit jatuh kepada 17,200 rupiah (RM5.18).- AFP

Media Baharu