BAITULMUQADDIS, 2 Mac - Hamas mengecam tindakan Israel yang menyekat bekalan dan bantuan kemanusiaan ke Gaza hari ini.
Hamas menyifatkannya sebagai "jenayah perang" serta satu pengkhianatan terhadap perjanjian gencatan senjata yang telah dipersetujui sebelum ini.
Kritikan itu dibuat selepas Israel mengumumkan pada Ahad bahawa semua kemasukan bekalan ke Gaza akan dihentikan serta-merta.
Langkah itu, menurut Israel, bertujuan memberi tekanan kepada Hamas supaya menerima cadangan untuk melanjutkan gencatan senjata sementara di wilayah Palestin tersebut.
"Keputusan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk menghentikan bantuan kemanusiaan bukan sahaja satu bentuk tekanan kejam, tetapi juga jenayah perang yang mencabul perjanjian gencatan senjata secara terang-terangan," kata Hamas dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, pejabat Perdana Menteri Israel dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa penggantungan bekalan itu merupakan sebahagian daripada usaha mereka untuk memastikan pembebasan rakyat Israel yang masih ditahan.
"Perdana Menteri Benjamin Netanyahu telah memutuskan bahawa mulai pagi ini, semua penghantaran barangan dan bekalan ke Gaza akan disekat," menurut kenyataan tersebut.
Israel menegaskan bahawa gencatan senjata tidak akan dilakukan selagi tebusan mereka tidak dibebaskan.
Zionis Israel memberi amaran bahawa jika Hamas terus berkeras menolak, tindakan lain akan diambil sebagai tindak balas. - AFP