fb fb fb fb fb

Angka korban runtuhan salji di Himalaya meningkat kepada 5 orang

Penyelamat India mengeluarkan pekerja yang tertimbus akibat runtuhan salji di kawasan sempadan terpencil/Foto Jabatan Maklumat dan Perhubungan (DIPR) Uttarakhand/AFP

DEHRADUN, 2 Mac - Angka korban akibat runtuhan salji di utara India meningkat kepada lima orang hari ini.

Mangsa yang terselamat berkongsi detik cemas ketika mereka diselamatkan selepas berjam-jam terperangkap di bawah timbunan salji dan serpihan runtuhan.

Pasukan penyelamat menemukan seorang lagi mayat dan masih mencari tiga mangsa yang hilang, menurut tentera.

Lebih 50 pekerja tertimbus selepas runtuhan salji melanda sebuah kem pembinaan pada Jumaat lalu berhampiran kampung Mana, berdekatan sempadan Tibet di negeri Himalaya, Uttarakhand.

Pihak berkuasa mengemas kini jumlah pekerja di lokasi daripada 55 kepada 54, selepas seorang pekerja yang disangka tertimbus sebenarnya telah pulang ke rumah sebelum runtuhan berlaku.

Pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan 50 pekerja, namun empat daripada mereka kemudian meninggal dunia akibat kecederaan.

Pada 2021, hampir 100 orang maut di Uttarakhand selepas runtuhan glasier besar menyebabkan banjir kilat.

Sebelum itu, pada 2013, banjir monsun dan tanah runtuh meragut 6,000 nyawa, mengakibatkan gesaan agar projek pembangunan di kawasan itu dikaji semula. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN