fb fb fb fb fb

10 maut pertempuran kumpulan bersenjata di Benin

Gambar fail anggota tentera Benin berkawal di luar pusat pengundian semasa pilihan raya presiden di Cotonou/Foto AFP

COTONOU, 2 Mac – Sepuluh maut, termasuk seorang anggota tentera, dalam pertempuran antara kumpulan bersenjata dan tentera Benin minggu lalu.

Tentera Benin melancarkan operasi serangan dari malam Khamis hingga Jumaat, mengakibatkan sembilan pemberontak berjaya dilumpuhkan, menurut sumber kanan ketenteraan pada Sabtu.

Kedua-dua kawasan itu terletak berhampiran sempadan Niger, yang kini menyaksikan peningkatan pemberontakan.

Pada Februari lalu, enam anggota tentera Benin terbunuh dalam serangan oleh lelaki bersenjata tidak dikenali, sebelum tentera membalas dengan menembak mati 17 penyerang.

Sebulan sebelumnya, 28 anggota tentera terkorban dalam serangan yang didakwa dilakukan oleh kumpulan yang mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda.

Menurut sumber diplomatik, sebanyak 121 anggota tentera Benin terbunuh antara 2021 hingga Disember 2024.

Bagi memperkukuh keselamatan, kerajaan Benin mengerahkan hampir 3,000 anggota tentera ke sempadan menerusi Operasi Mirador pada Januari 2022, selain merekrut tambahan 5,000 anggota untuk memperkuat kawalan keselamatan di utara negara itu.

Dalam usaha mempertingkat kerjasama pertahanan, Amerika Syarikat dan Benin menandatangani perjanjian dua hala pada Khamis bagi "memperkukuhkan kerjasama antara Angkatan Tentera Benin (FAB) dan Tentera AS," menurut kedutaan Amerika di Benin.

Namun, beberapa penyelidik berpendapat bahawa pendekatan ketenteraan semata-mata, gagal menangani ketegangan politik yang menjadi faktor utama kumpulan jihad merekrut ahli baharu dan melancarkan serangan. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN