fb fb fb fb fb

Israel mengaku bunuh Ismail Haniyeh di Tehran

Bekas ketua Hamas, Ismail Haniyeh, yang terbunuh di Tehran pada Julai lalu/ AFP

BAITULMAQDIS, 24 Disember- Israel mengakui bahawa pihaknya telah membunuh bekas ketua Hamas, Ismail Haniyeh, di Tehran.

Perkara itu didedahkan Menteri Pertahanannya, Katz. Dia turut mengugut mahu melakukan perkara sama ke atas kepimpinan pejuang Huthi, Yaman.

"Kami akan menyerang Huthi dengan keras dan memenggal kepimpinan mereka seperti yang kami lakukan terhadap Ismail Haniyeh, Yahya Sinwar dan Hassan Nasrallah di Tehran, Gaza dan Lubnan. Kami akan melakukan perkara yang sama di Hodeida dan Sanaa," kata Katz.

Kenyataannya secara terbuka dalam satu acara di Kementerian Pertahanan itu merupakan pengakuan awam pertama bahawa Tel Aviv bertanggungjawab disebalik pembunuhan Ismail Haniyeh, pada Julai lalu.

"Sesiapa yang 'mengangkat tangan' terhadap Israel akan kehilangan tangannya dan tentera Israel akan menyerang", ugut Katz, menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh kementerian tersebut.

Sebelum ini, Israel tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai pembunuhan Ismail, namun Iran dan Hamas menyalahkan rejim zionis atas serangan yang menyebabkan kematian pemimpin Hamas itu.

Ismail Haniyeh yang mengetuai usaha rundingan Hamas untuk gencatan senjata di Gaza, dibunuh di sebuah penginapan di Tehran pada 31 Julai yang disyaki dilakukan oleh tentera Israel.

Sehari sebelum kejadian, beliau berada di Tehran untuk menghadiri majlis angkat sumpah Presiden Iran, Masoud Pezeshkian.

Pada 27 September lalu, Israel membunuh Hassan Nasrallah dalam satu pengeboman di Beirut, diikuti dengan pembunuhan pengganti Ismail, Yahya Sinwar, pada 16 Oktober di Gaza. -AFP

ROSLINA BINTI DIN