YAKUTSK, 24 Disember- Penyelidik di Siberia sedang menjalankan ujian ke atas bangkai anak mammoth yang ditemukan selepas lebih 50,000 tahun.
Bangkai berkenaan menyerupai anak gajah ditemukan dari kawah Batagaika, sebuah lekukan besar lebih 80 meter dalam akibat perubahan iklim.
Ketua Makmal Muzium Mammoth Lazarev di bandar Yakutsk, Maxim Cherpasov berkata, bangkai itu memiliki berat lebih 110 kilogram dan dibawa ke permukaan menggunakan pengusung buatan.
Beliau berkata mammoth berkenaan mungkin berusia lebih setahun ketika ia mati, tetapi umur yang lebih tepat akan disahkan menerusi ujian oleh saintis.
Penemuan itu disifatkan sebagai luar biasa berikutan keadaan bangkai berkenaan hampir sempurna.
"Menurut konteks semula jadi, bahagian yang mencair terlebih dahulu sering dijadikan makanan. Belalainya menjadi makanan bagi pemangsa atau burung moden ketika mencair.
"Sebagai contoh, walaupun bahagian depan anak mammoth berkenaan telah dimakan namun bahagian kepalanya masih terpelihara dengan baik," kata Cherpasov kepada Reuters .
Ia adalah yang terbaharu daripada siri penemuan di permafrost (lapisan beku kekal di bawah permukaan bumi) Rusia.
Pada November saintis di wilayah timur laut dikenali sebagai Sakha atau Yakutia mempamerkan bangkai anak sabre-toothed (sejenis kucing purba) berusia 32,000 tahun, manakala pada awal tahun ini bangkai serigala berusia 44,000 tahun turut ditemukan. - REUTERS