fb fb fb fb fb

Israel lepaskan tembakan, bom rumah penduduk Tebing Barat

Foto AFP

TULKARM, 31 Januari- Tentera Israel mengepung dua buah rumah di bandar Tulkarm, Tebing Barat,malam tadi 

Memetik agensi berita Palestin, WAFA, sumber tempatan berkata tentera Israel turut melepaskan tembakan dan bom ke arah rumah terbabit.

"Tentera Israel mengepung sebuah rumah di kawasan perumahan Al-Muhandisin di sebelah timur bandar itu. Mereka turut menggunakan pembesar suara untuk mengarahkan penghuni keluar.

"Israel turut mengepung sebuah lagi rumah di kawasan kejiranan selatan bandar tersebut.

"Pertempuran berlaku di kawasan itu, namun tiada laporan kecederaan," lapor WAFA.

Sumber tempatan mengesahkan bahawa tentera Israel menahan dua pemuda yang dikenali sebagai Ammar dan Ahmed Al-Awfi.

Tentera Israel juga terus mengepung Hospital Kerajaan Thabet Thabet dan Hospital Al-Israa yang terletak di bandar itu.

Pasukan perubatan menghadapi sekatan yang ketat, dengan paramedik digeledah dan disoal siasat oleh tentera itu.

Selain itu, tentera Israel telah meletupkan rumah-rumah di dalam kem pelarian Tulkarm yang sedang dikepung untuk hari kelima berturut-turut.

Penduduk dipaksa meninggalkan rumah mereka dengan diacu senjata sebelum rumah mereka diletupkan.

Letupan dan kebakaran terus kedengaran secara berterusan di seluruh kem tersebut.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM