fb fb fb fb fb

Pencemaran udara: Thailand arah tindakan tegas terhadap pembakaran jerami

Foto AFP

BANGKOK, 31 Januari – Kerajaan Thailand telah mengarahkan tindakan tegas terhadap petani yang melanggar larangan pembakaran sisa tanaman selepas pencemaran udara di Bangkok melonjak pada Jumaat, seminggu selepas udara beracun memaksa ratusan sekolah ditutup.

Asap daripada pembakaran jerami tanaman oleh petani, yang bercampur dengan pelepasan kenderaan dan kilang, menyebabkan pencemaran udara di Bangkok dan bandar lain meningkat mendadak pada awal tahun.

Pada pagi Jumaat, ibu kota Thailand itu berada di tangga ketujuh dalam senarai bandar paling tercemar di dunia yang dikendalikan oleh syarikat pemantauan udara, IQAir.

Tahap pencemaran PM2.5, zarah halus penyebab kanser yang cukup kecil untuk memasuki aliran darah melalui paru-paru, mencapai 86 mikrogram per meter padu, menurut IQAir.

Bacaan melebihi 15 mikrogram dalam tempoh 24 jam dianggap tidak sihat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pada Khamis, kerajaan Thailand mengarahkan pihak berkuasa wilayah untuk menguatkuasakan larangan pembakaran jerami tanaman serta melaporkan jumlah petani yang telah ditangkap kerana melanggar peraturan itu.

"Di setiap wilayah, jika anda membenarkan pembakaran tanaman atau gagal melaksanakan langkah pencegahan, anda akan dikenakan tindakan," kata kerajaan Thailand dalam satu kenyataan.

Selain itu, lebih 1.1 juta topeng perlindungan pencemaran telah diedarkan di seluruh negara, sementara Kementerian Kesihatan akan memantau kumpulan berisiko, termasuk kanak-kanak dan wanita hamil.

Kerajaan turut mengarahkan pemandu memastikan kenderaan mereka mematuhi had pelepasan asap bagi mengurangkan pencemaran udara.

Pihak berkuasa menjangkakan pencemaran akan meningkat antara Jumaat hingga Rabu kerana keadaan cuaca sejuk dan stabil menghalang penyebaran bahan pencemar.

Minggu lalu, pihak berkuasa Bangkok menutup lebih 350 sekolah susulan peningkatan pencemaran udara. Namun, tiada arahan sedemikian dikeluarkan pada Jumaat.

Sebagai langkah tambahan, perkhidmatan Skytrain, metro, sistem rel ringan, dan bas di bandar itu diberikan percuma sepanjang minggu bagi mengurangkan pelepasan asap kenderaan.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN