MANILA, 31 Januari – Seorang pegawai kanan Polis Negara Filipina (PNP) disahkan terkorban dalam nahas udara di Washington.
PNP dalam satu kenyataan rasmi memaklumkan, Kolonel Polis Pergentino N. Malabed, Ketua Bahagian Pengurusan Bekalan merupakan antara penumpang dalam penerbangan American Airlines yang bertembung di udara dengan helikopter Black Hawk milik Tentera Darat AS berhampiran Lapangan Terbang Nasional Reagan.
“Polis Negara Filipina meratapi kehilangan tragis Kolonel Polis Pergentino N. Malabed,” menurut kenyataan itu.
Jurucakap polis, Kolonel Randulf Tuano, berkata Manila telah dimaklumkan bahawa satu mayat dengan pasport milik Malabed telah ditemui di Sungai Potomac.
Balu Malabed dijangka berlepas ke Amerika Syarikat dalam masa terdekat untuk secara rasmi mengenal pasti dan menuntut jenazah suaminya.
Menurut Tuano, Malabed sebelum ini berlepas ke Amerika Syarikat bersama dua pegawai lain bagi menjalankan ujian terhadap jaket keselamatan yang dirancang untuk dibeli oleh pihak polis Filipina.
Bagaimanapun, beliau kemudian meneruskan perjalanan seorang diri bagi membuat kunjungan hormat kepada atase polis di Kedutaan Filipina di Washington.-AFP