fb fb fb fb fb

Israel lancar serangan skala besar, 200 rakyat Palestin maut

Foto REUTERS

BAITULMAQDIS, 18 Mac- Serangan udara Israel di Gaza menyebabkan sekurang-kurangnya 200 rakyat Palestin terkorban dan perlanggaran sepenuhnya gencatan senjata apabila Israel berikrar untuk menggunakan kekerasan bagi membebaskan tebusan yang masih berada di Gaza.

Menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin kebanyakan mangsa yang terkorban adalah wanita dan kanak-kanak.

Pegawai Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan serangan dilancarkan di beberapa lokasi termasuk utara Gaza, bandar Gaza, Deir al-Balah, Khan Younis dan Rafah yang terletak di tengah dan selatan Gaza.

Antara yang terkorban adalah pegawai kanan Hamas, Mohammad Al-Jmasi, seorang anggota pejabat politik dan ahli keluarganya yang berada di rumahnya di Gaza ketika serangan Israel.

Secara keseluruhan, sekurang-kurangnya lima pegawai kanan Hamas terkorban bersama ahli keluarga mereka. Pihak berkuasa turut melaporkan secara berasingan bahawa 16 anggota satu keluarga di Rafah, Gaza selatan, terbunuh.

Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata telah mengarahkan tenteranya untuk mengambil tindakan tegas terhadap Hamas, di Gaza sebagai tindak balas kepada penolakan kumpulan itu untuk membebaskan tebusan dan menolak cadangan gencatan senjata.

Tentera Israel berkata telah menyerang puluhan sasaran dan serangan akan berterusan selama mana perlu dan akan melibatkan serangan udara serta meningkatkan serangan darat.

Serangan Israel itu jauh lebih lebih luas berbanding serangan biasa menggunakan dron, yang lazimnya dilancarkan tentera Israel terhadap individu atau kumpulan kecil yang disyaki pejuang Hamas.

Serangan besar-besaran kali ini dilancarkan susulan kegagalan usaha untuk memeterai lanjutan gencatan senjata yang dipersetujui pada 19 Januari lalu.

Dalam pada itu, jurucakap White House di Washington berkata Israel telah berunding dengan pentadbiran Amerika Syarikat sebelum melancarkan serangan tersebut.

Di Gaza, saksi yang dihubungi oleh Reuters berkata Israel melancarkan serangan ke kawasan di Rafah, Gaza selatan, memaksa banyak keluarga yang kembali ke kawasan mereka selepas gencatan senjata meninggalkan rumah dan menuju ke utara ke Khan Younis.-REUTERS

ROSLINA BINTI DIN