JAKARTA, 18 Mac - Seramai 400 warga Indonesia berjaya diselamatkan selepas menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian di Myawaddy, Myanmar.
Kumpulan itu terdiri daripada 313 lelaki dan 87 wanita, termasuk enam wanita hamil.
Mereka diselamatkan dari kawasan bergolak itu pada Isnin dan semuanya dilaporkan berada dalam keadaan sihat, menurut Kementerian Luar Indonesia.
“Mereka dibawa melintasi sempadan ke Thailand melalui Jambatan Persahabatan Kedua dan tiba di bandar Mae Sot, kemudian menjalani pemeriksaan kesihatan serta proses Mekanisme Rujukan Nasional.
“Kumpulan itu kemudian menaiki sembilan bas menuju ke Lapangan Terbang Don Mueang di Bangkok sebelum menaiki kapal terbang pulang ke Indonesia,” menurut kenyataan kementerian.
Mereka dijangka tiba di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Jakarta, pada pagi Selasa.
Sementara itu, seramai 154 lagi warga Indonesia akan diselamatkan dalam operasi kedua, dengan ketibaan mereka di Jakarta dijadualkan pada Rabu, menurut kementerian berkenaan.
Usaha pemindahan itu diselaraskan oleh pegawai kementerian luar Indonesia bersama kakitangan kedutaan di Bangkok dan Yangon, dengan bantuan pihak berkuasa Thailand serta Myanmar. - BERNAMA