fb fb fb fb fb

Sekurang-kurangnya tujuh orang maut, nahas pesawat di Pulau Honduras

Pasukan penyelamat membawa mangsa yang cedera ke dalam pesawat Tentera Udara selepas pesawat terhempas di Roatan, Honduras/ AFP

TEGUCIGALPA, 18 Mac- Sekurang-kurangnya tujuh orang maut apabila sebuah pesawat kecil terhempas ke laut semasa berlepas dari pulau Caribbean Honduras, Roatan.

Pihak bomba, Mejar Wilmer Guerrero memberitahu 10 mangsa telah diambil dari lokasi nahas, enam daripadanya disahkan meninggal dunia di hospital.

Mayat seorang anggota kru ditemui terapung di laut berhampiran pesawat yang terhempas kira-kira satu kilometer dari pantai.

Guerrero berkata seorang penumpang, warganegara Perancis berusia 40 tahun, akan dipindahkan ke hospital di bandar San Pedro Sula di tanah besar.

Pesawat milik syarikat penerbangan Lanhsa berlepas pada waktu malam dari Roatan, salah satu daripada kepulauan Bay, merupakan salah satu destinasi pelancongan utama Honduras, menuju ke pelabuhan La Ceiba di tanah besar.

"Pesawat itu hampir jatuh ke atas kami. Saya sedang memancing," kata seorang nelayan yang namanya tidak didedahkan kepada televisyen HCH.

Sementara itu, Presiden Honduras, Xiomara Castro, berkata sebuah jawatankuasa kecemasan telah diaktifkan dengan segera yang terdiri daripada pasukan tentera, bomba dan pihak lain untuk membantu mangsa nahas tersebut.

Punca nahas itu disebabkan oleh 'kegagalan mekanikal' pada pesawat Jetstream 41 buatan Britain, kata polis dalam satu kenyataan.-AFP

ROSLINA BINTI DIN