fb fb fb fb fb

59 pesawat China dikesan di sekitar Taiwan

Kapal pengawal pantai Taiwan memantau kapal pengawal pantai China, beberapa batu nautika dari pantai timur laut Taiwan pada Disember 2024/ AFP

TAIPEI, 18 Mac- Taiwan mengesan 59 pesawat China di sekitar pulau itu beberapa hari selepas Presidennya, Lai Ching-te, menggelarkan China sebagai 'kuasa asing yang bermusuhan'.

Kementerian Pertahanan Taiwan dalam satu kenyataan berkata selain daripada 59 pesawat, sembilan kapal perang China dan dua belon pengawasan juga dikesan dalam tempoh 24 jam.

Ia adalah jumlah tertinggi pesawat China yang direkodkan, selepas 153 pesawat dilaporkan pada 15 Oktober, selepas China mengadakan latihan ketenteraan besar-besaran sebagai tindak balas terhadap ucapan Hari Kebangsaan oleh Presiden Lai beberapa hari sebelumnya.

"Daripada pesawat yang dikesan dalam tempoh 24 jam yang lalu, 54 daripadanya telah menyertai rondaan pertempuran bersama," kata kementerian itu dalam kenyataan berasingan.

Taiwan juga mendakwa China menggunakan aktiviti perisikan, serangan siber dan penyebaran maklumat palsu untuk melemahkan pertahanannya.

Sementara itu, Kementerian Luar China berkata tindakan itu adalah tindak balas tegas terhadap pakatan kuasa luar yang sengaja berkomplot dan menyokong kemerdekaan Taiwan dan amaran keras kepada pihak pemisah kemerdekaan Taiwan.

China menegaskan ia adalah latihan rutin dan mengulangi bahawa, Taiwan adalah sebahagian daripada wilayahnya serta mengancam untuk menggunakan kekuatan untuk menguasai pulau itu.

Beijing meningkatkan penempatan jet pejuang dan kapal tentera laut di sekitar Taiwan sejak beberapa tahun kebelakangan ini bagi menegaskan tuntutan kedaulatannya, yang ditolak oleh Taipei.

China juga mengulangi kritikannya terhadap keputusan AS untuk menghapuskan rujukan kepada status Taiwan daripada laman web Jabatan Negara.

Amerika Syarikat tidak mengiktiraf Taiwan secara diplomatik, namun tetap menjadi penyokong utama keselamatannya dan pada Februari memadam kenyataan dalam Jabatan Negara yang menyatakan: "Kami tidak menyokong kemerdekaan Taiwan."

"Ini adalah satu lagi contoh jelas bagaimana AS dengan sengaja mengikut dasar menggunakan Taiwan untuk melibatkan China dan menyokong serta menyetujui kemerdekaan Taiwan," kata kementerian itu.

Jumlah orang yang didakwa kerana menjadi perisik untuk Beijing telah meningkat dengan ketara, dengan anggota tentera Taiwan yang bersara dan yang masih berkhidmat menjadi sasaran utama usaha perisikan China, menurut angka rasmi.

Badan dasar tertinggi Taipei mengenai China, Majlis Hal Ehwal Tanah Besar (MAC), berkata perluasan ketenteraan agresif China mengancam keamanan dan kestabilan di Selat Taiwan dan rantau itu.

"Ia telah menjadi 'pengacau' yang diakui secara universal dan tidak dapat dinafikan," kata Menteri MAC, Chiu Chui-cheng.-AFP

ROSLINA BINTI DIN