DAMSYIK, 18 Mac- Kementerian Pertahanan Syria mengumumkan pada Isnin bahawa pihaknya telah mencapai persetujuan dengan Lubnan untuk melaksanakan gencatan senjata di sepanjang sempadan serta mempertingkatkan koordinasi dan kerjasama, lapor Anadolu Ajansi.
Menurut kenyataan kementerian yang dipetik oleh agensi berita rasmi Syria, SANA, perjanjian dicapai selepas pertemuan antara Menteri Luar Lubnan Youssef Rajji dan Menteri Luar Syria Asaad al-Shaibani di Brussels pada Isnin.
Kedua-dua pihak bersetuju untuk mengekalkan komunikasi demi mempertahankan kedaulatan negara masing-masing serta mengelakkan ketegangan lanjut di sempadan.
Kementerian Pertahanan Syria mengesahkan bahawa perjanjian itu merangkumi gencatan senjata serta peningkatan kerjasama, namun tidak memberikan butiran lanjut.
Pengumuman itu dibuat susulan ketegangan yang semakin memuncak selepas Kementerian Pertahanan Syria pada Ahad menuduh kumpulan Hizbullah Lubnan menculik dan membunuh tiga anggota tenteranya di kawasan sempadan.
Bagaimanapun, Hizbullah menafikan dakwaan itu.
Kementerian turut berikrar akan mengambil “semua langkah perlu” sebagai tindak balas terhadap apa yang disifatkan sebagai “peningkatan berbahaya.”
Sementara itu, tentera Lubnan pada Isnin melaporkan bahawa kawasan sempadan Hermel di Hosh al-Sayyid Ali telah dibedil dari arah Syria.
Sebagai tindak balas, unit ketenteraan Lubnan membalas tembakan ke arah sumber serangan.
Menurut kenyataan tentera Lubnan, perbincangan antara kepimpinan tentera negara itu dan pihak berkuasa Syria masih berjalan bagi memulihkan ketegangan serta menstabilkan kawasan sempadan.
Pada pagi Isnin, tentera Lubnan mengumumkan bahawa pihaknya berkoordinasi dengan pihak berkuasa Syria untuk memperketat kawalan sempadan dan mengekalkan kestabilan.
Dalam proses itu, tiga mayat telah diserahkan kepada Syria.
Kerajaan Syria kini berusaha untuk memperkukuh keselamatan serta mengawal sempadannya termasuk dengan Lubnan, dalam usaha mengekang penyeludupan dadah serta membanteras saki-baki elemen bekas rejim Bashar al-Assad yang mencetuskan ketidakstabilan.
Sempadan Syria-Lubnan sepanjang 375 kilometer (233 batu) terdiri daripada kawasan berbukit yang sukar dikawal, dengan banyak bahagian tidak mempunyai tanda pemisah yang jelas.
Walaupun terdapat enam pos kawalan rasmi, kawasan itu masih berdepan dengan aktiviti rentas sempadan secara haram.- BERNAMA-ANADOLU