fb fb fb fb fb

Israel gunakan fosforus putih di sempadan selatan Lubnan

Asap berkepul-kepul semasa pengeboman Israel ke atas al-Bureij/AFP

BEIRUT, 5 Jun- Mohammad Hammud, lewat 70-an menjadi saksi pengeboman Israel di sebuah perkampungan sempadan selatan Lubnan menggunakan fosforus putih.

"Kebakaran berlaku di hadapan rumah... ada bau pelik... kami mengalami kesukaran bernafas," katanya kepada AFP melalui telefon dari kampungnya di Hula.

"Kami menyangka ia adalah pengeboman biasa tetapi apabila petugas kecemasan tiba mereka memberitahu kami ia adalah fosforus dan membawa kami ke hospital," katanya.

Tentera Israel dan pergerakan kuat Hezbollah di Lubnan saling berbalas tembakan hampir setiap hari sejak rejim zionis menyerang Gaza pada 7 Oktober lalu.

Lubnan menuduh Israel menggunakan fosforus putih dalam serangan yang dikatakan pihak berkuasa memudaratkan orang awam dan alam sekitar.

Fosforus putih, bahan yang mudah meruap apabila bertindak balas dengan oksigen. Ia digunakan sebagai pelindung dan untuk menerangi medan perang.

Tetapi amunisi itu juga boleh digunakan sebagai senjata pembakar dan boleh menyebabkan kebakaran, melecur, gangguan pernafasan, kegagalan organ dan juga kematian.

"Penggunaan fosforus putih secara meluas oleh Israel di selatan Lubnan meletakkan orang awam dalam risiko besar dan menyumbang kepada perpindahan orang awam," kata Human Rights Watch dalam laporan yang dikeluarkan pada Rabu.

Badan pemerhati hak asasi manusia berkata ia "mengesahkan penggunaan amunisi fosforus putih oleh tentera Israel sekurang-kurangnya di 17 majlis perbandaran di seluruh selatan Lubnan sejak Oktober", selain ia "digunakan secara tidak sah di kawasan kediaman berpenduduk".

Tentera Israel pada Oktober menafikan perakara itu dan sasaran fosforus putih "tidak digunakan di kawasan padat penduduk, tertakluk kepada pengecualian tertentu".- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI