JAKARTA, 5 Jun- Presiden Indonesia Joko Widodo telah menggantikan Ketua Pihak Berkuasa IKN Nusantara, Bambang Susantono, dalam satu rombakan mengejut hanya beberapa minggu sebelum projek kontroversi bernilai $32 bilion itu dibuka secara rasmi di pulau Borneo.
Ibu kota ekonomi terbesar Asia Tenggara itu akan berpindah secara rasmi pada Ogos depan dari Jakarta ke bandar Nusantara.
Projek legasi oleh Jokowi dihalang oleh kekurangan pelaburan asing, isu pemilikan tanah dan kelewatan.
"Jokowi telah melakukan perubahan kepimpinan," tulis Bambang Susantono menerusi satu hantaran di Instagram pada Selasa.
"Izinkan saya memohon maaf atas sebarang kesilapan dan kekurangan dalam tugas saya," tambah Bambang yang merupakan bekas pegawai Bank Pembangunan Asia.
Kerajaan Indonesia berkata beliau meletak jawatan tanpa penjelasan dan akan digantikan oleh Menteri Kerja Raya dan Perumahan Indonesia Basuki Hadimuljono.
Sementara itu Timbalan Pihak Berkuasa IKN Nusantara Dhony Rahajoe, digantikan oleh Timbalan Menteri Agraria.
Perubahan mendadak itu disifatkan sebagai "mengejutkan dan pelik" oleh ahli parlimen pembangkang Mardani Ali Sera.
Kedua-dua pegawai itu terkenal dengan profesionalisme mereka dan pendekatan berhati-hati terhadap projek mega itu, katanya kepada AFP.
Bandar baharu itu dijadualkan mula beroperasi sebagai pusat politik baharu negara pada 17 Ogos depan iaitu Hari Kemerdekaan Indonesia.
Pencinta alam sekitar telah memberi amaran bahawa bandar yang dirancang itu akan menyebabkan penebangan hutan di salah satu kawasan hutan hujan tropika terbesar di dunia.
Kerajaan Indonesia menyasarkan untuk mempunyai 1.9 juta penduduk yang tinggal di Nusantara menjelang 2045.
Beribu-ribu penjawat awam dijangka berpindah ke bandar raya itu pada September untuk memulakan tugas namunrancangan Jakarta ditangguhkan beberapa bulan kerana pembinaan yang perlahan.- AFP