fb fb fb fb fb

Modi dan sekutunya adakan pertemuan selepas keputusan pilihan raya

Narendra Modi/REUTERS

MUMBAI, 5 Jun- Narendra Modi ditetapkan untuk bertemu sekutunya pada Rabu untuk membincangkan pembentukan kerajaan, sehari selepas parti nasionalis Hindu kehilangan majoriti dalam keputusan pilihan raya negara itu.

Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Modi memenangi 240 kerusi dalam pilihan raya umum daripada 543 kerusi yang dipertandingkan, menurut keputusan rasmi yang diumumkan pada Selasa.

Keputusan itu mengejutkan pelabur, dengan saham jatuh mendadak pada hari Selasa, kerana Modi perlu bergantung kepada parti serantau yang berbeza fahaman politik.

Perikatan Demokratik Kebangsaan (NDA) diketuai oleh BJP memenangi 293 kerusi. Ia mendahului 21 kerusi berbanding 272 yang diperlukan untuk membentuk kerajaan.

Kemenangan Modi di Varanasi menunjukkan pengurangan kira-kira 150,000 undi berbanding pilihan raya pada 2019, beliau meraih hampir 500,000 undi.

Tetapi kemenangan yang berkurangan ini mungkin tidak melumpuhan reformasi, kata pengerusi panel kewangan kerajaan, Arvind Panagariya, dalam akhbar Economic Times.

“Walaupun majoriti di parlimen berkurangan, reformasi yang diperlukan sepenuhnya boleh dilaksanakan.

"Pertumbuhan mampan pada kadar yang pantas dapat mengukuhkan ekonomi kerajaan pada tahun-tahun akan datang," katanya.

Sementara itu, perikatan pembangkang INDIA yang diketuai oleh parti Kongres berpusat Rahul Gandhi memenangi 230 kerusi dan angka itu melebihi daripada ramalan.

Parti kongres memenangi 99 kerusi, ia hampir dua kali ganda daripada 52 kerusi yang dimenanginya pada 2019. Keputusan itu sekali gus memberikan kepercayaan kepada Gandhi.

Perikatan INDIA juga dijangka mengadakan pertemuan pada Rabu di New Delhi untuk membincangkan tindakan masa depan.

Bagaimanapun sebarang usaha dalam pembentukan kerajaan oleh pembangkang berkemungkinan dihalang oleh dua sekutu utama BJP yang menyokong Modi dan mengatakan pakatan sebelum pengundian masih utuh.

Pada masa sama Modi turut berjanji untuk bekerja lebih keras dalam penggal ketiganya.

"Rahmat rakyat buat kali ketiga selepas 10 tahun melonjakkan semangat kami, ia memberi kekuatan baharu," katanya.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI