fb fb fb fb fb

Buruan Thailand Chaowalit dipindahkan ke Penjara Pusat Bang Kwang

Foto hiasan

BANGKOK, 5 Jun- Buruan paling dikehendaki Thailand, Chaowalit Thongduang dijangka dipindahkan ke Penjara Pusat Bang Kwang di sini pada Rabu selepas diekstradisi dari Indonesia pada Selasa malam.

Komander Polis Wilayah 8, Pol Lt Jen Surapong Thanomjit berkata Chaowalit, 37, ditahan polis Indonesia di Bali pada pagi Khamis lepas setelah melarikan diri selama tujuh bulan.

Surapong berkata pihak berkuasa Indonesia telah berkoordinasi dengan Interpol Thailand dan Penolong Duta Besar Indonesia ke Thailand untuk penyerahan tersebut.

"Dia (Chaowalit) diterbangkan dengan pesawat sewa Indonesia awal pagi Selasa dan tiba di wilayah selatan pada 5.38 petang," katanya kepada pemberita Selasa malam.

Surapong menambah bahawa Jabatan Pembetulan Thailand telah meminta pasukan komando polis bersenjata dari Bahagian Pencegahan Jenayah untuk membawa Chaowalit dari lapangan terbang Nakhon Si Thammarat ke Penjara Pusat Bang Kwang di Nonthaburi, Bangkok, pada pagi Rabu (hari ini).

Chaowalit yang juga dikenali sebagai Sia Paeng Nanod, telah ditahan di sel tahanan di Balai Polis Bandaraya Nakhon Si Thammarat malam tadi.

Menurut laporan media Thailand, Chaowalit sedang menjalani hukuman penjara atas cubaan membunuh dan menghadapi beberapa tuduhan jenayah lain, termasuk pembunuhan dan pemilikan senjata api.

Dia bagaimanapun melarikan diri dari Hospital Maharaj Nakhon Si Thammarat semasa mendapatkan rawatan pergigian pada 22 Okt tahun lepas.

Walaupun pemburuan besar-besaran dijalankan, Chaowalit berjaya mengelak dari ditangkap dan dipercayai telah meninggalkan Thailand dengan bot laju dari Satun.

Pada 25 Dis lepas, Chaowalit dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa kehadirannya kerana cubaan membunuh.- BERNAMA

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI