fb fb fb fb fb

Israel dakwa serang dua pangkalan tentera di tengah Syria

FOTO AFP

BAITULMAQDIS, 22 Mac- Tentera Israel mendakwa telah melancarkan serangan ke atas dua pangkalan tentera di tengah Syria, termasuk satu di Palmyra, selepas sebuah kumpulan pemantau melaporkan bahawa pangkalan udara di bandar itu menjadi sasaran.

Menurut kenyataan tentera Israel, serangan yang dilakukan bertujuan untuk melumpuhkan keupayaan strategik ketenteraan yang masih wujud di pangkalan Tadmur dan T4, kira-kira 50 kilometer di barat Palmyra.

Sebelum ini, Pemerhati Hak Asasi Syria yang berpangkalan di Britain melaporkan jet pejuang Israel telah menyasarkan lapangan terbang tentera Palmyra.

Sejak kejatuhan Bashar al-Assad pada Disember lalu, Israel telah melancarkan ratusan serangan ke atas tapak ketenteraan di Syria. Israel mendakwa tindakan itu bertujuan menghalang senjata daripada jatuh ke tangan pihak berkuasa baharu yang dianggap sebagai jihadist.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menuntut supaya bahagian selatan Syria didemilitarisasi dan menegaskan bahawa Israel tidak akan bertolak ansur dengan kehadiran pasukan bersenjata pihak berkuasa baharu di selatan Damsyik.

Sementara itu, Kementerian Luar Syria menuduh Israel sedang menjalankan kempen ketenteraan bagi menggugat kestabilan negara.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE