LILLE, 22 Mac- Pihak berkuasa Perancis menyelamatkan seramai 168 pendatang asing yang cuba menyeberangi Selat Inggeris menuju ke Britain menggunakan bot kecil, malam tadi.
Menurut kenyataan polis, kesemua mereka diselamatkan dalam empat operasi berasingan selepas menghadapi kesukaran di perairan berkenaan.
Tiga individu dilaporkan mengalami kecederaan dan telah dihantar ke hospital di bandar Boulogne-sur-Mer untuk menerima rawatan.
Operasi menyelamat dijalankan di kawasan perairan berhampiran Dunkirk dan wilayah Pas-de-Calais, yang menjadi laluan utama bagi migran ke Britain.
Ketika ini, keadaan cuaca yang lebih panas serta tiupan angin dari arah selatan meningkatkan jumlah percubaan merentasi Selat Inggeris menggunakan bot kecil.
Bagaimanapun, perjalanan tersebut tetap berisiko tinggi kerana laluan perkapalan yang sibuk serta keadaan bot yang sering dimuatkan secara berlebihan.
Setakat minggu ini, dua migran dilaporkan maut di kawasan yang sama, menjadikan jumlah korban akibat cubaan menyeberangi Selat Inggeris meningkat kepada lapan orang sejak awal tahun ini.-AFP