fb fb fb fb fb

Tiada ancaman tsunami di Jepun, susulan letusan Gunung Lewotobi

Foto fail/AFP

TOKYO, 2 Ogos -Agensi cuaca Jepun mengesahkan tiada ancaman tsunami terhadap negara itu berikutan letusan besar gunung berapi di Pulau Flores, Indonesia pada awal Sabtu, lapor agensi berita Kyodo.

Menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA), Gunung Lewotobi Laki-Laki meletus sekitar 2.10 pagi (waktu Jepun), dengan awan mengandungi abu menjulang seketika ke ketinggian kira-kira 19,000 meter.

Agensi itu mula menilai kemungkinan tsunami melanda Jepun sejurus selepas letusan berkenaan memandangkan letupan gunung berapi yang besar kadangkala boleh mencetuskan tsunami akibat gelombang tekanan atmosfera.

Bagaimanapun, tiada perubahan ketara pada paras laut direkodkan oleh tolok pasang surut di Jepun atau di luar negara, kata agensi itu.

Gunung Lewotobi Laki-Laki telah menunjukkan peningkatan aktiviti dalam beberapa bulan kebelakangan ini, mendorong JMA untuk menjalankan penilaian berulang mengenai potensi impak tsunami sejak tahun lepas.

Dalam semua kes, termasuk kejadian baru-baru ini, tiada impak ke atas Jepun direkodkan.

Media antarabangsa melaporkan tiada laporan segera mengenai kemalangan jiwa akibat letusan itu.

Pihak berkuasa telah mengeluarkan amaran kepada penduduk tempatan dan pelancong untuk berada pada jarak sekurang-kurangnya enam hingga tujuh kilometer dari kawasan gunung berapi itu. - BERNAMA

TETITIA YUSOFF