fb fb fb fb fb

Ribut Tropika Wipha di Thailand, enam maut

Foto fail/AFP

BANGKOK, 2 Ogos -Sekurang-kurangnya enam terkorban dalam kejadian banjir dan tanah runtuh di Thailand yang dicetuskan Ribut Tropika Wipha sejak bulan lalu dengan 230,000 penduduk terjejas, menurut pihak berkuasa pengurusan bencana pada Sabtu.

Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Thailand memaklumkan, sejak 21 Julai hujan lebat telah melanda 12 wilayah, terutamanya di kawasan utara dan tengah negara itu.

"Kami sedang memantau dengan rapi kesan ribut Wipha dan bekerjasama dengan wilayah yang terjejas untuk menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan," kata agensi itu dalam satu kenyataan di laman rasmi Facebook mereka.

Jabatan Meteorologi negara itu meramalkan hujan akan berkurangan dalam beberapa hari akan datang. Thailand mengalami musim tengkujuh setiap tahun dari Mei hingga Oktober.

Para saintis memberi amaran bahawa perubahan iklim akibat perbuatan manusia menyebabkan pola cuaca menjadi lebih ekstrem, sekali gus meningkatkan risiko banjir besar yang boleh mendatangkan kemusnahan.

Banjir besar yang melanda Thailand pada tahun 2011 mengorbankan lebih 500 nyawa dan merosakkan berjuta-juta kediaman di seluruh negara itu. - AFP

TETITIA YUSOFF