WASHINGTON, 2 Ogos- Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengarahkan penempatan dua kapal selam nuklear ke rantau berhampiran Rusia pada Jumaat.
Situasi itu timbul susulan ketegangan perang mulut antara beliau dengan Timbalan Pengerusi Majlis Keselamatan Rusia, Dmitry Medvedev, berhubung isu Ukraine dan tarif.
Dalam hantaran di Truth Social, Trump berkata arahan itu dibuat “berdasarkan kenyataan provokatif” oleh Medvedev sambil menegaskan bahawa “kata-kata sangat penting dan sering membawa akibat tidak dijangka.”
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada kapal selam itu berkuasa nuklear atau bersenjata nuklear, mahupun lokasi penempatannya.
Dalam temu bual dengan Newsmax, Trump berkata kapal selam itu kini berada “lebih dekat dengan Rusia.”
Langkah itu dibuat beberapa jam selepas Presiden Rusia, Vladimir Putin mengumumkan pengeluaran besar-besaran peluru berpandu hipersonik berkeupayaan nuklear Oreshnik dan menyatakan ia mungkin ditempatkan di Belarus menjelang akhir tahun ini.
Medvedev sebelum ini membalas ancaman Trump berhubung sekatan baharu terhadap Rusia dengan merujuk kepada sistem automasi nuklear era Perang Dingin “Dead Hand,” serta mengecam tindakan Trump yang bersifat mengugut.
Trump membalas dengan menggelar Medvedev sebagai “bekas presiden gagal” dan mengingatkannya supaya berhati-hati dengan kenyataannya.
Ketegangan itu berlaku ketika Trump memberi tempoh sehingga minggu depan untuk Rusia mengambil langkah menamatkan perang di Ukraine atau berdepan sekatan tambahan. -AFP