WASHINGTON, 2 Ogos- Inflasi di Amerika Syarikat (AS) meningkat pada Jun ketika Rizab Persekutuan (Fed) dalam pertimbangan sama ada untuk mengekalkan kadar faedah atau menurunkannya menjelang akhir tahun ini.
Menurut data Biro Analisis Ekonomi AS pada Khamis, indeks harga perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE), penanda aras inflasi pilihan Fed, meningkat 0.3 peratus bulan ke bulan.
Secara tahunan, PCE meningkat 2.6 peratus, melebihi anggaran pakar ekonomi manakala PCE teras naik 0.3 peratus bulan ke bulan dan 2.8 peratus tahun ke tahun, tanpa mengambil kira harga makanan dan tenaga.
Data itu dikeluarkan sehari selepas Fed mengumumkan ia mengekalkan kadar faedah semasa.
Indeks PCE merupakan penunjuk utama inflasi yang menjadi rujukan penting Fed dalam membuat keputusan dasar monetari dan mendapat perhatian besar pasaran.
White House menekan Fed supaya menurunkan kadar faedah, dengan Presiden Donald Trump percaya langkah itu dapat mempercepatkan pertumbuhan ekonomi.
Namun, ramai pakar ekonomi bimbang kadar lebih rendah boleh merangsang inflasi, ketika harga makanan dan tempat tinggal kekal pada paras tertinggi. -REUTERS