GAZA, 2 Ogos -Penduduk Palestin berkumpul di Hospital Al-Shifa pada Sabtu bagi memberikan penghormatan terakhir kepada ahli keluarga mereka yang terbunuh pada Jumaat ketika cuba mendapatkan bantuan kemanusiaan, menurut petugas perubatan tempatan.
Kejadian itu berlaku hanya beberapa jam selepas lawatan utusan Timur Tengah Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, iaitu Steve Witkoff ke sebuah tapak agihan bantuan yang dikendalikan Gaza Humanitarian Foundation (GHF) di Rafah kawasan di selatan Gaza yang musnah akibat konflik berterusan antara Israel dan kumpulan pejuang Hamas.
Beberapa jam selepas lawatan tersebut, petugas kesihatan Palestin melaporkan bahawa tiga rakyat Palestin ditembak mati oleh tentera Israel berhampiran salah satu tapak GHF di selatan Gaza.
Reuters tidak dapat mengesahkan sama ada kejadian tersebut berlaku di lokasi yang sama dengan yang dikunjungi oleh Witkoff.
Sementara itu, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan bahawa lebih 1,000 penduduk Gaza telah terbunuh sejak sistem agihan makanan GHF mula beroperasi, dengan kebanyakan mangsa dilaporkan ditembak oleh tentera Israel yang berkawal berhampiran kawasan agihan. - REUTERS