fb fb fb fb fb

Turkiye mula salur gas asli ke Syria, sasar 2 bilion meter padu setahun

Foto AFP

ISTANBUL, 2 Ogos -Turkiye pada Sabtu telah memulakan penghantaran gas asli dari Azerbaijan ke Syria dengan jumlah penghantaran tahunan dijangka mencecah hingga dua bilion meter padu.

Menteri Tenaga Alparslan Bayraktar berkata bahawa inisiatif itu akan membantu proses normalisasi Syria.

Syria yang menumbangkan Bashar al-Assad pada Disember lalu, kini giat berusaha membangunkan semula negara yang mengalami kerosakan teruk dengan gangguan bekalan elektrik masih boleh berlarutan hingga lebih 20 jam sehari.

"Pada fasa awal, hingga dua bilion meter padu gas asli setahun akan dieksport ke Syria," kata Bayraktar dalam majlis di wilayah Kilis selatan Turkiye, berhampiran sempadan Syria.

Menurut kerajaan Syria, gas tersebut akan digunakan untuk menjana elektrik.

"Gas ini akan membantu mengaktifkan loji janakuasa berkapasiti sekitar 1,200 megawatt, cukup untuk memenuhi keperluan elektrik kira-kira lima juta isi rumah," kata Bayraktar.

Beliau turut menyatakan bahawa gas akan dihantar ke Aleppo dan seterusnya ke Homs, membolehkan loji-loji janakuasa di kawasan tersebut beroperasi semula dalam masa terdekat.

Sebelum ini, fasa pertama projek tajaan Qatar untuk membekalkan gas bagi penjanaan tenaga di Syria telah bermula pada Mac lalu melalui Jordan, menyediakan 400 megawatt elektrik setiap hari.- AFP

TETITIA YUSOFF