GAZA, 2 Ogos -Penduduk Gaza yang kehilangan tempat tinggal terpaksa berdepan risiko maut dalam usaha terdesak mencari makanan, ketika krisis kebuluran semakin mencengkam.
Ibu kepada dua anak kecil dan sedang hamil Asma Al-Jabari, menyuarakan kegusaran tentang masa depannya dan keluarganya yang semakin sukar bertahan.
"Keadaan makanan kami sangat kritikal. Saya sedang mengandung dan tiada langsung makanan. Kami tidak menerima sebarang bantuan sejak empat bulan lalu. Anak-anak saya kadangkala tiada makanan langsung untuk sarapan, dan kadang-kadang mereka tidur tanpa makan malam,” katanya.
Kerisauan Asma turut dirasai ramai penduduk lain yang kecewa kerana bantuan masih tidak sampai kepada mereka.
Um Mohamoud, seorang wanita Palestin yang juga kehilangan tempat tinggal, menceritakan nasib malang anak-anaknya ketika cuba mendapatkan bantuan.
"Kami tak pernah terima bantuan. Anak-anak saya tak dapat capai bekalan dari udara. Seorang daripada mereka kehilangan kaki di pusat agihan bantuan Amerika di Rafah, manakala seorang lagi lumpuh akibat pengeboman. Kami hanya bergantung kepada Tuhan. Kami dengar bantuan ada, tapi kami tak pernah terima apa-apa.” katanya.
Pada Rabu lalu, tentera Israel dilaporkan telah menembak mati lebih 50 penduduk yang sedang mencari makanan dan mencederakan lebih 300 orang berhampiran kawasan panas Zikim.
Menurut anggaran tempatan, lebih 1,000 rakyat Palestin yang sedang mencari bantuan makanan telah terbunuh dalam beberapa bulan kebelakangan ini sejak penubuhan Gaza Humanitarian Foundation (GHF), sebuah inisiatif bantuan yang disokong oleh kerajaan Amerika Syarikat dan Israel. - REUTERS