fb fb fb fb fb

Israel 'buntu' sekutu AS kritik serangan sebagai 'semberono'

FOTO AFP

PALESTIN, 13 Disember- Israel mendapat tekanan daripada sekutunya berhubung perang di Gaza dengan penyokong utama zionis, Amerika Syarikat (AS) mengkritik pengeboman ke atas wilayah itu sejak 7 Oktober lalu sebagai serangan 'secara semberono'.

Presiden AS, Joe Biden mendakwa sokongan dunia terhadap Israel semakin hilang akibat tindakan itu.

"Sebahagian besar dunia menyokongnya (Israel) selepas serangan Hamas.

"Tetapi mereka mula kehilangan sokongan kerana pengeboman sembarangan yang berlaku ketika ini," katanya pada sidang media semalam.

Mengulangi sokongan AS kepada Israel, Biden menambah keselamatan rakyat Palestin yang tidak bersalah menjadi kebimbangan besar.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, lebih 18,400 penduduk kebanyakannya wanita dan kanak-kanak menjadi korban serangan zionis.

Selama berminggu-minggu, Washington telah menyeru agar Israel lebih berhati-hati untuk mengelak korban awam di Gaza dengan mengatakan bahawa terlalu ramai rakyat Palestin telah terbunuh.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu juga berkata, terdapat 'percanggahan pendapat' dengan Biden mengenai bagaimana Gaza pasca konflik akan ditadbir.

Ia sekali gus mencerminkan keretakan yang jarang berlaku antara sekutu berkenaan.

Sementara sekutu lain seperti Australia, Kanada dan New Zealand menggesa gencatan senjata serta mengeluarkan kenyataan bersama mengatakan kebimbangan mereka akan kekurangan 'ruang selamat' bagi penduduk awam di Gaza.

Kenyataan bersama itu dibuat selepas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) semalam meluluskan resolusi menuntut gencatan senjata di Palestin dengan 153 daripada 193 negara anggota mengundi menyokong.

AS dan Israel mengundi menentang resolusi itu, manakala sekutu Australia, Kanada, New Zealand antara negara yang menyokong. -AFP

SITI AISHAH BINTI MD ISA