BAITULMAQDIS, 10 Oktober - Sekurang-kurangnya 28 orang terbunuh dalam serangan udara tentera Israel ke atas sebuah lagi sekolah di bahagian tengah Gaza.
Menurut Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin, 54 orang turut mengalami kecederaan dalam serangan itu.
Tentera penceroboh menyasarkan Sekolah Radifa di Deir el-Balah yang dijadikan pusat perlindungan sementara.
Rejim zionis mendakwa kononnya serangan menyasarkan pusat arahan dan kawalan Hamas.
Serangan pada Khamis adalah yang terbaharu dalam siri serangan Israel ke atas bangunan sekolah yang menempatkan penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal di Gaza.
Pada 26 September lalu, lebih 15 orang terbunuh selepas rejim zionis membedil sekolah di kem pelarian Jabalia di utara.
Berdasarkan statistik terkini Kementerian Kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 42,065 rakyat Palestin terbunuh, sejak Israel melancarkan serangan besar-besaran kira-kira setahun lalu. -AFP